BijakThere

23 January 2019

Indonesia ubah pembebasan tanpa syarat ulama berkaitan dengan pengeboman Bali

Indonesia ubah pembebasan tanpa syarat ulama berkaitan dengan pengeboman Bali

Presiden Indonesia berkata pada hari Selasa bahawa ulama radikal yang dikaitkan dengan pengeboman Bali 2002 hanya dapat dibebaskan sekiranya dia mengikrarkan kesetiaan kepada negara dan ideologinya, selepas berita dia akan dibebaskan tanpa syarat mencetuskan kritikan.

Presiden Joko Widodo telah mengumumkan minggu lalu bahawa Abu Bakar Bashir, 81, akan dibebaskan atas dasar kemanusiaan, berdasarkan usia dan kesihatannya yang buruk.

Penasihat undang-undang kepada presiden telah mengatakan bahawa ia akan diberikan pelepasan tanpa syarat.

Tetapi Widodo berkata dalam satu kenyataan pada hari Selasa ia akan menjadi "pembebasan bersyarat", sehari selepas menteri keselamatan utama berkata keputusan itu sedang disemak semula.

"Syarat harus dipenuhi seperti kesetiaan kepada negara kesatuan Indonesia, kepada Pancasila. Itulah salah satu syarat yang sangat asas, " kata Widodo

Banduan yang layak untuk dibebaskan awal diperlukan untuk mengikrarkan kesetiaan kepada negara danideologi sekularnya, yang dikenali sebagai Pancasila, dan tidak mengulangi kejahatan mereka.

Tetapi peguam Bashir mengatakan bahawa dia enggan berbuat demikian.

Bashir adalah pemimpin spiritual Jemaah Islamiah (JI), kumpulan Islam yang dikaitkan dengan al-Qaeda yang dipertanggungjawabkan ke atas pengeboman kelab malam pada 2002di pulau Bali yang membunuh lebih 200 orang, kebanyakannya pelancong, Termasuk 88 rakyat Australia.

Dia telah disabitkan pada tahun 2010 di bawah undang-undang anti-keganasan dengan kaitan dengan kem latihan militan di wilayah Aceh dan dihukum penjara selama 15 tahun.

Walaupun dikaitkan dengan serangan Bali dan satu pengeboman di Hotel Marriott Jakarta pada tahun 2003, Bashir tidak pernah disabitkan atas kesalahan dan menafikan dia terbabit.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, bercakap sebelum Widodo menetapkan syarat untuk pembebasan Bashir, mendesak Indonesia agar tidak memberi kelonggaran kepadanya.

[Baca berita penuh]

Reuters

TPM kata tak restu ucapan, Xiddig kata dapat izin

TPM kata tak restu ucapan, Xiddig kata dapat izin

Sebuah syarikat telekomunikasi mendakwa mereka mendapat kebenaran untuk menggunakan ucapan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis perasmian projek jalur lebar semalam.

Pengerusi Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd (Xiddig) Abdul Rashid Abdul Rahim berkata lampu hijau itu diberikan setiausaha politik Wan Azizah.

"Kami menerima sepucuk surat rasmi daripada pejabat timbalan perdana menteri mengesahkan kehadiran beliau (Wan Azizah) di majlis berkenaan," katanya seperti dipetik portal berita FMT.

Bagaimanapun menurut Abdul Rashid - yang juga abang kepada bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim - pada malam sebelum acara itu berlangsung syarikatnya dimaklumkan timbalan perdana menteri tidak dapat hadir.

Justeru kata Abdul Rashid beliau bertanya kepada setiausaha politik Wan Azizah itu mengenai tokoh yang akan menggantikan timbalan perdana menteri.

"Saya tanya setiausaha politik Wan Azizah: macam mana? Siapa akan hadir?

"Selepas itu saya nampak Rashid. Saya tanya dia, boleh tak (jadi wakil) Wan Azizah dan dia tidak menolak selepas dapat kebenaran daripada setiausaha politik Wan Azizah,” katanya merujuk kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat Abdul Rashid Hasnon.

Malaysiakini sudah menghubungi setiausaha politik Wan Azizah, Romli Ishak, untuk mendapatkan kenyataan beliau.

Kata Abdul Rashid beliau kecewa dengan reaksi kerajaan PH terhadap syarikatnya walaupun projek berkenaan didakwanya disokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

[Baca berita penuh]

Kadar jangka pendek kekal susulan operasi susulan BNM

Kadar jangka pendek kekal susulan operasi susulan BNM

Kadar jangka pendek diunjurkan kekal stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai hari ini dianggarkan sebanyak RM32.50 bilion dalam sistem konvensional dan RM15.12 bilion dalam dana Islam.

Bank pusat akan menawarkan tender pasaran wang lelongan julat tempoh kematangan RM6 bilion bagi dua hari hingga 33 hari, tender Qard lelongan julat tempoh kematangan Islam RM3.3 bilion bagi 15 hari hingga 29 hari, Program Komoditi Murabahah RM500 juta bagi 33 hari dan tender repo RM500 juta bagi 33 hari.

Pada 4 petang, BNM akan melaksanakan tender semalaman konvensional sehingga RM27 bilion dan tender semalaman Murabahan RM11.3 bilion.

-- Bernama

Pembangkang cuba guna Parlimen kuasai isu Brexit dari PM May

Pembangkang cuba guna Parlimen kuasai isu Brexit dari PM May

Pemimpin pembangkang British dari Parti Buruh Jeremy Corbyn bergerak semakin hampir dengan langkah untuk membuka jalan bagi satu lagi referendum berhubung keahlian dalam Kesatuan Eropah dengan cuba menggunakan parlimen untuk merebut penguasaan ke atas isu Brexit daripada Perdana Menteri Theresa May.

Dengan masa semkin menghampiri 29 Mac, hari yang ditetapkan dalam undang-undang untuk Brexit, United Kingdom berdepan krisis politik yang paling meruncing dalam tempoh  setengah abad ketika ia bergelut dengan bagaimana, atau sama ada, untuk keluar dari projek Eropah yang disertainya pada tahun 1973.

Sejak ahli Parlimen mengundi menolak Brexit minggu lalu, ahli parlimen British sedang berusaha untuk mencari penyelesaian terhadap krisis itu

Parti Buruh mengemukakan satu pindaan untuk memberi masa kepada parlmen menimbang dan mengundi satu pilihan.

"Masanya bagi pelan alternarif parti Buruh diberi perhatian, sementara menimbang pilihan lain yang ada termasuk pilihan mendapatkan undi rakyat," kata Corbyn.

Ia adalah kali pertama kepimpinan parti Buruh mengemukakan di Parlimen kemungkinan pengundian kedua yang dialu-alukan oleh beberapa penentang Brexit.

Bagaimanapun, parti itu berkata, ia tidak bermakna ia menyokong referendum lain dan ahli parlimen dingatkan bahawa pindaan itu tidak akan meraih sokongan daripada Parlimen.

Penggubal undang-undang-setakat ini telah mengemukakan enam cadangan pindaan bagi menangguhkan Brexit, pengundian baru dan juga untuk parlimen untuk mengambil alih kawalan terhadap proses itu. Mereka akan mengundi berhubunglangkah seterusnya pada 29 Jan.

Masa depan Brexit masih amat tidak menentu dengan pilihan yang terdiri daripada keluar begitu saja yang akan menakutkan pelabur di seluruh dunia kepada mengadakan satu referendum baru yang boleh menterbalikkan keseluruhan proses itu.

Sejak United Kingdom mengundi 52-48 peratus untuk meninggalkan EU pada bulan Jun 2016, pemimpin-Britain berulang kali gagal mencapai kata sepakat bagaimana untuk meninggalkan EU.

Dengan dasar Brexit May yang terumbang-ambing, penggubal undang-undang di Parlimen British cuba menguasai isu Brexit, walaupun tidak ada majoriti yang jelas untuk satu alternatif terhadap rancangan May itu.

EU tidak yakin dengan ucapan May pada hari Isnin, di mana tiada pegawai atau jururunding Brexit memberi sebarang komen - positif atau negatif.

Menteri Keadilan Jerman Katarina Barley berkata beliau kecewa dengan pelan Perdana Menteri Britain, Theresa May untuk memecahkan kebuntuan terhadap Brexit dan mencadangkan Britain mengadakan referendum kedua.

[Baca berita penuh]

Reuters

Ringgit menyusut pada sesi dagangan awal berikutan penurunan harga minyak

Ringgit menyusut pada sesi dagangan awal berikutan penurunan harga minyak

Ringgit menyusut berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal hari ini berikutan sentimen belian bagi mata wang tempatan terjejas oleh penurunan harga minyak global.

Pada 9.06 pagi, ringgit pada paras 4.1340/1390 berbanding dolar AS daripada paras 4.1300/1350 semasa urus niaga ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata harga minyak global terus mencatatkan penurunan berikutan kebimbangan dengan kelembapan ekonomi yang dijangka menjejaskan pertumbuhan permintaan terhadap bahan bakar itu, dengan itu memberi kesan terhadap harga tenaga.

“Harga minyak lebih rendah dianggap negatif kepada ringgit kerana ia akan menjejaskan perolehan minyak dan gas negara,” katanya dan menurutnya pada 8.24 pagi, niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat turun 0.5 peratus kepada US$52.74 setong.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0381/0429 daripada 3.0332/0389 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7757/7806 daripada 3.7724/7780 semalam.

Ringgit juga lebih rendah berbanding pound British pada 5.3548/3629 daripada 5.3335/3404 semasa ditutup semalam dan menyusut berbanding euro kepada 4.6962/7027 daripada 4.6917/6982.

-- Bernama

Pemuda PAS senarai '15 hujah DAP anti-Islam'

Pemuda PAS senarai '15 hujah DAP anti-Islam'

Ternyata begitu gerun sekali Pemuda DAP dengan kebenaran yang dihujahkan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi mengenai sikap parti itu yang menentang usaha menegakkan serta meninggikan syiar Islam dan kedudukan Melayu-bumiputera. 

Berikut ialah senarai 15 hujah dan bukti bahawa DAP sememangnya menentang Islam dan kedudukan istimewa Melayu-bumiputera, juga kepentingan berkaitan bahasa Melayu dan raja-raja Melayu yang menjadi tunggak utama Perlembagaan Malaysia.

Malah, DAP sudah cukup terkenal dengan kelantangan celupar dan biadab, memperlekeh, mempertikai, memprovokasi serta campur tangan terhadap hal-ehwal, institusi dan tokoh Islam.

1. Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman, sewaktu mempertahankan kandungan khutbah Aidiladha yang dikeluarkan Jabatan Mufti Pahang menyebut mengenai campur tangan DAP terhadap hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan. Malah, tokoh DAP, Karpal Singh, cukup terkenal dengan kata-katanya, “an Islamic state over my dead body”.

2. Perlembagaan DAP jelas menyebut dalam Perkara 2 matlamat-matlamat DAP ialah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal”.

3. Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Namun, dalam Perlembagaan DAP pada Perkara 3 Matlamat-matlamat DAP hanya menyatakan “mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama”.

4. Sheikh Omar Ali, Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, pada 8 September 2015 menulis: “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya”. Pegangan DAP yang membataskan urusan beragama kepada soal peribadi ini bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup.

5. Penentangan DAP terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU355) dengan pelbagai alasan. Sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.

6. DAP juga memiliki rekod membentak dan ingkar kepada raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang menyeru agar Adun DAP memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar pada 2008. DAP juga mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.

7. Lim Kit Siang menuduh khutbah Jumaat disediakan Jakim sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian. Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng, pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajiban wanita Muslim menutup aurat. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy, pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.

8. Dalam isu laungan azan dan bacaan ayat al-Quran, Dr Tan Seng Giaw telah mempersoalkan di Dewan Rakyat pada 27 Sept 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat al-Quran melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut bukan Islam, terutama pada waktu Subuh. Antara disebut beliau, “bahkan juga 1,500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”

9. Dalam isu solat hajat, Teresa Kok mempersoalkan dalam Facebook beliau pada 22 Julai 2016 kewajaran Exco Hal Ehwal Agama Selangor dari PAS, Dr Ahmad Yunus Hairi, mengarahkan agar semua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah agar konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam pada 25 Julai dibatalkan.

10. Dalam isu umrah di Makkah, pemimpin DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, mempersoalkan sama ada dosa penganut Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Makkah. Sindiran sama juga telah disuarakan oleh pemimpin DAP Johor, Suppiah Ramakrishnan, dalam muka buku beliau pada Mac 2016 walaupun ia kemudiannya dipadamkan.

11. Dalam isu aurat, Nga Kor Ming menyindir purdah yang dipakai sebahagian wanita Islam sambil menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Ahmad Darus, yang mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 supaya pramugari MAS memakai pakaian yang menutup aurat sebagai "pemimpin Melayu otak cacat".

12. Dalam isu murtad, Ngeh Koo Ham mengeluarkan kenyataan pada 7 Jun 2014, yang diikuti ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam. Kata beliau, umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.

13. Pemisahan DAP dari semua pakatan politik yang pernah disertainya, iaitu Gagasan Rakyat pada Jan 1995, Barisan Alternatif pada Sept 2001 dan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 kesemuanya berpunca dari ketidaksetujuannya terhadap perjuangan Islam PAS.

14. Deklarasi Setapak DAP menyatakan, “kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok bumiputera dan bukan bumiputera ditentang”.

15. Kuat menyuarakan supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi.

Ini merupakan sebahagian daripada banyaknya lagi hujah dan fakta serta senarai panjang mengenai DAP dalam isu ini.

Sehubungan dengan itu, kami di Pemuda PAS mencabar DAP supaya menjawab setiap satu daripada semua hujah ini dengan fakta yang sahih. 

Sesungguhnya kami berdiri teguh di belakang Muhammad Khalil dalam meninggikan syiar Islam sebagai teras negara dan bangsa Malaysia serta kedudukan istimewa Melayu-bumiputera dan ketuanan raja-raja Melayu yang berdaulat di bumi Malaysia ini.


HISHAMUDDIN ABDUL KARIM ialah ketua penerangan Pemuda PAS.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Korban letupan saluran paip minyak Mexico meningkat kepada 93 orang

Korban letupan saluran paip minyak Mexico meningkat kepada 93 orang

GLOBAL Jumlah mangsa yang terkorban dalam letupan saluran paip minyak di negeri Hidalgo, Mexico Jumaat lepas telah meningkat kepada 93 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Menteri Kesihatan Jorge Alcocer pada Selasa.

Angka itu meningkat susulan luka terbakar teruk yang dialami mangsa, kata Alcocer dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador.

Sejumlah 46 orang lagi masih dirawat di hospital termasuk seorang mangsa yang "berada dalam keadaan kritikal dengan prognosis buruk," kata menteri itu.

Pada Isnin, seorang lagi pesakit telah dipindahkan ke sebuah hospital pakar luka terbakar di Galveston, Texas di Amerika Syarikat, kata Alcocer.

Insiden letupan itu dan kebakaran susulan berlaku lokasi yang menempatkan saluran paip terbabit di komuniti San Primitivo dalam perbandaran Tlahuelilpan kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan (0100 GMT) pada Jumaat.

Menurut kerajaan tempatan, antara 600 dan 800 orang berkumpul di lokasi itu untuk menadah minyak yang bocor dengan bekas apabila letupan berlaku.

Lopez Obrador berkata Peguam Negara (FGR) akan mengendalikan siasatan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab dan menahan mereka.

Nahas itu adalah antara tragedi terburuk yang disebabkan oleh letupan saluran paip di Mexico sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Disember 2010, sejumlah 30 orang terbunuh manakala 52 lagi cedera dalam satu siri letupan di dua saluran paip minyak di Puebla.

-- Bernama


Top